Keblinger

Keblinger

JAMU REPUT TULANG...

| Tuesday, February 28, 2012
Keratan Akhbar : Jamu reput tulang - Harian Metro, 3 Mei 2008 Posted by Izwanon 04/05/2008 (440 reads)

Jamu reput tulang - Harian Metro, 3 Mei 2008

KUALA LUMPUR: Kehidupan mewah dikecapi dalam tempoh singkat membongkar kegiatan licik seorang saudagar jamu yang mendakwa menggunakan ‘periuk ajaib’ untuk memasak pelbagai ubat-ubatan tradisional dicampur dengan pelbagai bahan kimia berbahaya termasuk steroid.

Lelaki berusia 40-an itu sebelum ini memperdaya orang ramai kononnya menggunakan resipi warisan turun-temurun untuk menghasilkan pelbagai jamu tradisional seperti mengembalikan ‘dara’ kepada wanita, memulihkan penyakit lumpuh, menguatkan syahwat lelaki dan pelbagai jenis penyakit gatal serta lenguh tulang.

Bagaimanapun, siasatan pegawai Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan mendapati dia menambah steroid dalam jumlah banyak pada pil atau kapsul jamu dihasilkan.

Lebih menakutkan, kapsul dan pil jamu yang boleh menyebabkan tulang rapuh itu kini dijual hampir di seluruh negara pada harga antara RM12 hingga RM20 sebotol.

Sumber penguat kuasa farmasi berkata, kegiatan lelaki itu terbongkar selepas sepasukan lebih 10 pegawai dari ibu pejabat yang dibantu cawangan Kedah menyerbu sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, penguat kuasa farmasi yang turut dibantu anggota Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menyerbu rumah lelaki itu yang dipercayai menjadi tempat memproses jamu beracun secara besar-besaran.

“Serbuan dilakukan selepas pegawai farmasi melakukan intipan seminggu di kediaman mewah tauke jamu itu. Siasatan mendapati dia menjadikan bilik khas di belakang rumahnya sebagai dapur memproses ubat-ubatan dan jamu tanpa disedari jiran.

“Hasil serbuan, pegawai farmasi menemui ribuan botol pelbagai jenis jamu yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan dan dikilangkan tanpa lesen sah,” katanya.

Sumber itu berkata, antara ubatan tradisional tidak berdaftar yang dirampas ialah jamu melawas kencing, menguruskan badan, majun Tupai Jantan, jamu Kacip Fatimah, ubat sakit buah pinggang, lelah, sakit sendi tulang dan seribu satu penyakit lain.

“Setakat ini pegawai farmasi mengenal pasti 10 jenis jamu haram yang disimpan dalam stor lelaki terbabit. Semua ubat-ubatan terlarang itu dianggarkan bernilai lebih RM50,000 mengikut nilai pasaran.

“Turut dirampas, periuk, baldi dan perkakasan yang digunakan untuk memasak jamu berkenaan yang dicampur dengan serbuk steroid sebelum diadun menjadi butiran pil kecil,” katanya.

Penguat kuasa farmasi turut menemui beberapa bekas berisi serbuk putih dipercayai steroid yang diseludup masuk ke negara ini.

“Ketika disoal siasat, lelaki itu mendakwa pernah cuba mendaftarkan ubat-ubatan tradisionalnya, namun ditolak kerana tidak mematuhi syarat.

“Namun, dia berdegil meneruskan perniagaannya dengan bantuan tiga rakan.

“Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut Peraturan 7(1)(b) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Menurutnya, bahan steroid yang digunakan membuat jamu itu disenaraikan sebagai racun berjadual mengikut Akta Racun 1952.

“Kebiasaannya pesakit hanya menggunakan steroid sebagai ‘jalan terakhir’ selepas gagal menggunakan pelbagai kaedah lain,” katanya.

sumber: http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20080503110742/Article

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2010 Maajun Anggun Bistari