Keblinger

Keblinger

ISTIHADAH : Permainan Syaitan si Pendamping Wanita...

| Friday, January 18, 2013

http://nahwannur.blogspot.com/2008/05/is...





Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabat.

Setelah beberapa beberapa ketika saya bertangguh untuk memberi penjelasan tentang perkara ini, dan atas keseganan sendiri untuk melakukan post ini, akhirnya, insyaALLAH kali ini saya berusaha mengupas isu istihadah ini sedikit berbeza dari biasa. Atas permintaan beberapa sahabiah, dan adik usrah, saya harap pembaca lain akan sedikit terbuka walau isu ini lebih kepada urusan wanita.

Selalu saya di tanya oleh sahabiah yang mengalami masalah kitaran haid tentang waktu sebenar kitaran haid dan cara mengenali dan membezakan antara haidh, nifas dan darah istihadah, cara pengurusan dan amalan yang boleh dan tidak ketika dalam setiap keadaan. Ketiga-tiga perkara di atas merupakan antara perkara terpenting yang amat-amat perlu difahami teori dan praktikalnya bagi setiap insan bergelar wanita. Ia amat perlu supaya ia memudahkan urusan ibadah kita dan amat penting juga dalam urusan berumahtangga. Berkenaan dalam ikatan suami isteri, boleh saya katakan, isu-isu ini turut penting bagi golongan muslimin dalam mengetahui dan memahami kondisi isteri terutamanya supaya kelak tiada kecelaruan berlaku.

Namun, entri kali ini, saya tidak bercadang untuk mengupas satu persatu teori dan pengurusan diri atas ketiga-tiga perkara tersebut kerana terlalu banyak rujukan yang mudah di dapati dan jauh lebih baik dari kefahaman saya sendiri, malah ia juga merupakan rujukan saya. InsyaALLAH kali ini, saya ingin memfokuskan kepada perspektif lain tentang istihadah, tentang wujudnya istihadah yang lebih dari kerana ianya darah kotor yang disebabkan oleh penyakit dan sebagainya.


Overview darah Istihadah


Atas kesedaran dan kefahaman seorang muslimah, istihadah lebih mudah di fahami sebagai darah wanita yang mengalir luar dari masa kitaran haid. Istihadah ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan. Ia boleh di kesan dengan mengenal pasti waktu keluarnya darah yang berbeza dan ‘terlebih’ dari biasa (mengikut kitaran haid normal bagi individu), dan melalui warna darah.

Terdapat beberapa dalil atas kes istihadah. Dalil bagi kes pertama, yakni darah keluar tanpa terputus-putus ialah sebagaimana aduan Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu 'anha kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana di dalam Shahih al-Bukhari:

“Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak suci” manakala dalam satu riwayat yang lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”

Dalil bagi kes kedua, yakni darah keluar dengan terputus sekejap ialah kisah Himnah binti Jahsyradhiallahu 'anha yang datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: 

“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku didatangi darah istihadah yang banyak.”[Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud dan Sunan al- Tirmizi dan beliau (al-Tirmizi) mensahihkannya.]

Kesedaran atas berlakunya istihadah perlulah hadir dari kefahaman tentang perbezaan waktu suci sepatutnya dan waktu kotor sepatutnya (kitaran haid). Jadi terlalu penting bagi seorang muslimah untuk mencatitkan waktu kedatangan haid untuk memudahkan urusan ibadah kita terutamanya. Banyak perbincangan dan buku yang boleh di rujuk untuk perkara ini.



Istihadah :: permainan syaitan?

Di luar sedarnya kita, wahai kaum muslimah, saya ingin tegaskan di dalam entri kali ini bahawa masalah istihadah merupakan salah satu bentuk gangguan syaitan ke atas wanita. Hal ini ada di bincangkan di dalam kuliah tafsir al-a’raf oleh Ustaz Zahazan di radio Ikim.fm, dan beberapa kuliah fiqh muslimat di uia, serta terdapat beberapa buku yang turut membincangkannya seperti fiqh wanita, petunjuk quran dan sunnah berkenaan haid, istihadah dan nifas (terbitan alfirdaus.com), dan beberapa kitab lain.

Tentu, terlalu normal orang mengatakan bahawa darah istihadah merupakan darah kotor seseorang yang mungkin di sebabkan oleh beberapa faktor seperti penyakit, pengambilan makanan, stress dan sebagainya. Dan ini sememangnya terdapat hadith sahih tentangnya. Namun, saya tertarik untuk membincangkan satu hadith;

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari hentakan-hentakan syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada dua puluh tiga malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah kamu berpuasa.” 

[Sunan Abu Daud– no: 248 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan berkata al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih]

Hadith ini jelas menyatakan bahawa darah istihadah merupakan darah yang disertai oleh syaitan. Suatu perkara yang besar saya kira untuk di fahami oleh muslimah terutama sekali yang berhadapan dengan istihadah. Permainan pertama berkaitan istihadah adalah dalam urusan beribadat. Sudah tentunya seseorang yang mengalami istihadah akan mengalami kekeliruan sekaligus mengundang perasaan was-was dalam melakukan ibadah. Jadi tidak hairanlah mengapa muslimah yang mengalami hal istihadah sering bertanya kepada pelbagai pihak, walau sudah berulang kali dek kerana inginkan kepastian. Alhamdulillah, at least mereka sedar akan pentingnya memahami hal istihadah dan pengurusan supaya tidak menjejaskan urusan ibadah. Jadi jelas sekali, ini merupakan salah satu tipu daya syaitan dalam membina perasaan was-was sekaligus menghalang kita mencapai kesempurnaan dalam ibadah seperti solat.

Selain itu, masalah istihadah dan permainan syaitan yang ke dua melibatkan sistem hubungan suami isteri dan institusi rumah tangga. Merujuk kepada surah al-baqarah ayat ke 102, di situ ada menyatakan bahwa terdapatnya sihir syaitan yang berperanan memporak perandakan dan mencerai beraikan suami isteri dan ada ulama’ yang menghuraikan salah satu method yang di maksudkan adalah istihadah yang mana ia merupakah salah satu daf’ah (tipu daya) syaitan ke atas wanita dan suami dalam melahirkan kecelaruan dalam institusi rumah tangga melalui hubungan suami isteri tersebut. Ini di sokong oleh beberapa hadith yang menyatakan bahawa, syaitan itu pendamping bagi kaum muslimah, dan ada juga hadith yang menyatakan wanita itu pembawa syaitan. Jadi jelas membuktikan bahawa istihadah merupakan salah satu permainan spiritual syaitan ke atas emosi dan hubungan suami isteri.



Punca atas sedar

‘Kita stress lately, workload berat sangat...hmm, macamana ya?’ itu alasan selalu saya terima dari sahabiah yang bertanya.

Dari perspektif lain, sebenarnya muslimah perlu selalu bermuhasabah. Berfikir di luar kotak fikiran biasa. Sistem edaran darah wanita merupakan salah satu anugerah besar bagi seseorang wanita. Ada yang mengatakan ‘hadiah’ untuk wanita setelah setiap hari menanggung pelbagai kerja dalam kehidupan dan kitaran darah merupakan ‘cuti umum’ untuk menghilangkan lelah. Selain itu, kitaran darah juga menyucikan sistem tubuh wanita dengan membuang setiap darah kotor. Jauh dari itu, dapat dilihat, bahawa sistem ini merupakan ‘signal’ bagi muslimah yang berpenyakit, dan sebenarnya merupakan ‘ingatan’ untuk mereka yang sebenarnya sakit dari segi spiritual.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy:
“Sesungguhnya yang demikian itu ialah ‘irq (penyakit) bukanlah darah haid maka apabila datang haid maka hendaklah kamu meninggalkan solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 306 (Kitab al-Haid)]

Terdapat dua jenis penyakit di sini yang dihuraikan oleh beberapa ulama’ atas maksud ‘irq (penyakit) di dalam hadith di atas. Penyakit yang jelas adalah penyakit fizikal iaitu berkemungkinan seseorang yang mengalami istihadah merupakan tanda-tanda wujudnya penyakit dalaman di dalam tubuh badan wanita. Dan penyakit ke dua yang dimaksudkan ialah penyakit jiwa. Penyakit jiwa ini bermaksud hubungan kita dengan ALLAH swt yang mana semakin hari semakin lemah.

Seorang wanita yang mengalami istihadah tentunya faham keadaannya semasa itu. Bagi mereka yang stress, selalu cenderung mendera fizikal dengan meratapi stress tanpa cuba mengkaji spiritual semasa saat itu. Saya telah mengupas isu stress secara ringkas (di sini). Ia jelas menunjukkan bahawa sebab-sebab hadirnya stress yang sekaligus bisa menjarakkan hubungan semasa kita dengan ALLAH swt.

Antara perkara lain yang melibatkan penyakit rohani ialah;
1. Kelemahan hati: hati yang tidak kuat
2. Kelemahan roh: e.g.: instinct. Dan kelemahan batin dalam menghadapi setiap urusan . Jadi ini sala h satu sebab wanita yang menghadapi stress ada yang akan mengalami istihadah
3. Pengaruh nafsu: terarah kepada benda yang tidak baik
4. Kelemahan akal : Akal tidak dapat menerima bebanan semasa dek kerana tidak diarahkan oleh kekuatan iman dan sebagainya


Atasi secara spiritual

Terdapat beberapa cara mengatasi Istihadah secara spiritual iaitu;
1. Selalu berwudu’. Sentiasa memperbaharui wudhu seperti yang di lakukan oleh Rasulullah saw untuk memastikan diri kita sentiasa suci dan jauh dari gangguan syaitan

2. Mengamalkan doa; Bismillahillazi la yadurru maas mihi syai’un fil ardhi wala fissamai wahuwassami ul’azim
3. Memperbanyakkan hadir ke majlis-majlis ilmu
4. Bertadabbur
5. Bersedekah; memelihara harta dan mensucikan jiwa (salah satu melalui zakat)
6. Mengamalkan zikir. Walau dalam keadaan berhadas. Dan ALQURAN sebagai zikir terbaik dan pakaian jiwa. Amalan lain seperti Al-mathurat dan al-manzil
7. Mengamalkan solat dhuha

Apapun maksud dan sebab di sebalik hadirnya istihadah yang di beri oleh ALLAH swt buat insan bergelar wanita, ia merupakan anugerah terbesar iaitu sebagai ‘signal’ awal dalam memberi peluang wanita untuk mengambil langkah untuk mengubati. Walau berpenyakit fizikal sekalipun, bersangka baiklah kerana ia pasti dapat menyucikan dosa kita di dunia tanpa perlu di hitung di akhirat, dan bersyukurlah kita masih di beri masa untuk mengambil langkah mengubati tanpa terus di tarik nyawa, dan jika ia tanda stress dan permasalahan jiwa, maka itu tandanya DIA sentiasa mengingati kita dan memberi waktu untuk kita bermuhasabah supaya kita sentiasa berhubung denganNYA dan sehingga waktu kita bertemu denganNYA dalam keadaan bersih jiwa. SubhanALLAH. Bukankah begitu untung menjadi wanita ^__~ kita sentiasa berada di bawah jagaan dan tarbiyyahNYA.

Jadi, apapun keadaan menghambat, jangan lupa untuk selalu bermuhasabah akan kekurangan diri bukan menyalah kan takdir semata atas musibah yang melanda. Dan walau sesibuk mana pun kita dan di mana jua kita di campakkan, pasti kan sentiasa hati dan jiwa kita tetap berhubung denganNYA.

Wallahua’lam

p/s [nahwanNUR] : Bagi sahabat sahabiah, ikhwah dan akhowat, dan sesiapa sahaja yang inginkan e-book Petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas karangan Syaikh Muhammad al-Shalih al-‘Utsaimin, terbitan alfirdaus.com boleh hubungi saya. Sebarang tambahan, pembetulan amat-amat di alukan buat perkongsian bersama. Bagi yang menghadapi masalah ini, selamat mencuba. Moga ada manfaatnya di sini.

Sumber rujukan:
1. Beberapa sesi kuliah berkaitan fiqh muslimat, fiqh taharah, tafsir al-quran oleh ustaz zahazan etc
2. Buku Fiqh Muslimah, Tarbiyyatul aulad fil Islam oleh Abdullah Nasih Ulwan dan e-book Petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas karangan Syaikh Muhammad al-Shalih al-‘Utsaimin
3. Diskusi ilmiah dengan ustazah dan sahabiah yang di hormati
 

Copyright © 2010 Maajun Anggun Bistari