Keblinger

Keblinger

Darah istihadhah...

| Tuesday, March 27, 2012
Darah istihadhah ialah darah penyakit. Ia keluar disebabkan kecederaan pada organ-organ dalaman atau saluran darah di bahagian abdomen seorang wanita. Darah istihadhah dapat dikenali melalui warnanya yang merah dan kelikatan yang sederhana. Ia umpama darah yang keluar pada anggota badan ketika tercedera, seperti jari yang terluka ketika terkena pisau atau lutut yang cedera ketika bersukan. Ini berbeza dengan darah haid yang berwarna merah gelap dan agak pekat, dengan sering disertai bau yang kurang menyenangkan.

Sesiapa yang mengalami pendarahan istihadhah, hendaklah dia segera mendapat rawatan doktor pakar sakit puan. Sementara menunggu rawatan dan untuk pulih sepenuhnya, perlu diketahui hukum-hukum agama berkenaan darah istihadhah.


Darah Istihadhah Adalah Suci.

Berbeza dengan darah haid dan nifas, darah istihadhah adalah suci hukumnya. Maka seorang wanita yang mengalami pendarahan istihadhah hendaklah tetap mendirikan solat lima waktu sehari dan berpuasa di bulan Ramadhan. Ini dengan catatan puasa tersebut tidak memberi kesan negatif kepada darah istihadhah yang sedang dihadapi saat itu. Ini kerana Islam memberi kelonggaran kepada orang yang sakit daripada berpuasa dan darah istihadhah itu sendiri adalah darah penyakit, disebabkan penyakit tertentu dalam abdomen wanita terbabit.

Bagi yang mengkehendakinya, isteri yang mengalami pendarahan istihadhah boleh juga melakukan hubungan seks dengan suaminya.


Mengenali Darah Istihadhah.

Sekalipun telah diterangkan ciri-ciri darah istihadhah dari sudut warna, kelikatan dan baunya, hakikatnya tidaklah semudah itu. Kerap kali wanita yang mengalami pendarahan istihadhah mengalami kesukaran untuk membezakannya dengan darah haid. Suasana lebih diberatkan apabila darah istihadhah keluar bersama darah haid.

Jika dirujuk kepada sunnah Rasulullah, baginda telah memberikan beberapa petunjuk dalam persoalan ini. Para wanita pada zaman itu tidak segan-segan untuk bertanya kepada baginda apa-apa persoalan agama sekalipun sesuatu yang melibatkan bahagian sulit mereka. Berdasarkan pertanyaan mereka dan jawapan Rasulullah, dapat dirumuskan empat kaedah bagi mengenali darah istihadhah dan membezakannya dengan darah haid.



Kaedah Pertama: Berdasarkan kitaran kebiasaannya. Setiap wanita memiliki kitaran haid yang khusus baginya. Ada yang lima hari, tujuh hari, sembilan hari dan demikianlah seterusnya. Jika seorang wanita lazimnya memiliki kitaran haid lima hari, maka pendarahan pada hari keenam dikira sebagai darah istihadhah. Kaedah pertama ini merujuk kepada tunjuk ajar Rasulullah kepada Umm Habibah: “Tinggalkanlah solat selama masa haidmu yang biasa kamu alami. Kemudian (seusai tempoh itu) mandilah.” [Shahih Muslim, no: 505]



Kaedah Kedua: Berdasarkan ciri-ciri darah seperti warna, kelikatan dan bau. Seperti yang dinyatakan, darah haid berwarna merah gelap, agak pekat dan sering kali berbau kurang menyenangkan. Darah istihadhah pula berwarna merah, dipertengahan antara cair dan pekat serta tidak berbau. Kaedah kedua ini merujuk kepada tunjuk ajar Rasulullah kepada Fathimah binti Abi Hubaish:

“Apabila itu darah haid, maka ia berwarna gelap yang dapat dikenali (oleh anda). Apabila darah itu ternyata demikian, maka tinggalkanlah shalat. Namun apabila darah itu lain (ciri-cirinya), maka berwudhulah dan kerjakanlah shalat, kerana itu hanyalah darah penyakit.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 286]



Kaedah Ketiga: Bagi yang masih tidak dapat membezakan antara darah istihadhah dan darah haid, maka hendaklah dia mengira sejak mula pendarahan selama tujuh hari. Tujuh hari pertama tersebut adalah darah haid manakala hari kelapan dan seterusnya ialah darah istihadhah. Kiraan seperti ini dilakukan pada setiap bulan sehinggalah sembuh dari darah ishadhah tersebut. Kaedah ketiga ini merujuk kepada tunjuk ajar Rasulullah kepada Hamnah binti Jahsy: “Maka laluilah masa haid kamu selama enam atau tujuh hari, setelah itu mandilah.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 287]


Perlukah Mandi dan Wudhu’?

Wanita yang mengalami darah istihadhah yang bercampur dengan darah haid, hendaklah dia Mandi Wajib setelah diyakini berdasarkan kaedah-kaedah di atas, tempoh haidnya sudah habis dan apa yang masih keluar ialah darah istihadhah.

Persoalan seterusnya, bagaimana wanita tersebut hendak solat jika mengalami darah istihadhah? Bukankah sesuatu yang keluar dari rongga kemaluan membatalkan wudhu’ dan tanpa wudhu’ seseorang itu tidak dapat solat?

Jawapannya, darah istihadhah ialah darah penyakit dan Islam memberikan kemudahan kepada orang yang mengalami penyakit. Dalam kes ini, darah istihadhah yang keluar tidak membatalkan wudhu’. Justeru boleh tetap solat seperti biasa.

Dalam beberapa hadis, disebutkan bahawa wanita yang mengalami pendarahan istihadhah hendaklah mandi atau berwudhu’ setiap kali hendak solat. Akan tetapi para ilmuan Islam berbeza pendapat tentang kekuatan hadis-hadis terbabit. Selain itu, mereka juga memahami bahawa mandi atau wudhu’ setiap kali hendak solat adalah satu anjuran dan bukannya kewajipan.

Oleh itu bagi wanita yang mengalami darah istihadhah:

Jika belum ada wudhu’, maka berwudhu’lah kemudian solat.
Jika sudah ada wudhu’ sejak awal, maka teruskan bersolat. Namun jika dia ingin memperbaharui wudhu’ sebelum solat, maka itu adalah lebih baik.
Jika memiliki kemudahan, adalah lebih utama untuk mandi dan wudhu’ sebelum setiap solat.

1 comments:

{ Asmak Khomisah } at: March 4, 2014 at 7:02 PM said...

maaff? salah tu..jika sudah ada wuduk hukumnya tetap wajib kena ambil wuduk baru? krn hukun wanita istihadhah adalah satu wuduk hanya utk satu solat fardhu shj & bbrpa solat sunat, klu nak solat fardhu yg seterusnya wlaupun wktu pendek cntoh antara maghrib & isyak wajib ambil wuduk juga..& niat wuduk utk wanita istihadhah x sama mcm org biasa..niatnya : nawaitu istibahah fardu solah..maaf,saya cuma betulkan ikut apa yg sy bljar, slebihnya wAllahu Alam

Post a Comment

 

Copyright © 2010 Maajun Anggun Bistari